Pages

Thursday, August 5, 2010

ADAB BERDOA

Fadilat Doa Dan Selawat

      Antara adab berdoa ialah hendaklah menghadap kiblat, kerana doa adalah satu di antara ibadah kepada Allah SWT.
 

      Berdoa pula dikehendaki angkat kedua belah tangan. Cara angkat tangan semasa berdoa ada pelbagai kaifiyat yang dibahaskan oleh para ulama. Mengikut Imam Ghazali r.a. ialah dengan mengangkat agak tinggi hingga kelihatan putih celah pangkal lengan.
  
      Selesai berdoa raup kedua tapak tangan ke muka, kerana menurut Saiyidina Umar r.a. katanya: "Nabi s.a.w. apabila hulur tangan ke arah langit kerana berdoa, tidak diturunkan tangannya kecuali setelah diraupkan ke mukanya."

  
      Abdullah ibnu Abbas r.a pula berkata: "Nabi s.a.w. apabila berdoa beliau temukan kedua-dua tangannya, dan baginda jadikan kedua perut tangannya menghadap ke mukanya."

  
      Demikianlah kedudukan tangan ketika berdoa, ketika angkat kedua tapak tangan jangan memandang ke langit. Jika berbuat demikian seolah Tuhan berada di langit, sedangkan Allah SWT tidak bertempat.

  
      Adab berdoa yang keempat; ialah dengan suara yang sederhana antara jahar (nyaring) dan perlahan (sir).Yang mustahak hendaklah kedengaran butir huruf, kerana segala perkataan itu hasil daripada gerakan bibir mulut dan lidah serta suara.

  
      Siti 'Aisyah ketika mentafsirkan ayat yang bermaksud: "Dan janganlah kamu menyaringkan suara dalam solatmu dan janganlah merendahkannya, dan carilah jalan tengah di antara keduanya." (Surah Al-Israa ayat 110)

  
      Yang dimaksudkan dengan solatmu ialah doa, kerana jika dimaksudkan itu solat, maka ia bercanggah dengan kedudukan solat malam Nabi s.a.w. yang dibaca 'jahar' (nyaring), dan solat siang dengan 'sir' (suara perlahan).

  
      Satu hujah lagi ialah dengan pujian Allah SWT terhadap Nabi Zakaria a.s. dalam al-Quran yang bermaksud: "(Yang dibacakan ini adalah) penjelasan tentang rahmat Tuhan kamu kepada hamba-Nya Zakaria, iaitu ketika ia berdoa kepada Tuhannya dengan suara yang lembut." (Surah Maryam ayat 2 dan 3)

  
      Perkara yang dipuji Allah SWT ialah cara Nabi Zakaria berdoa dengan suara lembut, dia tidak menyaringkan suara ketika berdoa kerana yakin bahawa Tuhan Yang Maha Mendengar terlalu dekat dengannya.

  
      Adab yang kelima janganlah berdoa dengan kalimah yang bersajak, sebaiknya berdoa yang berpunca daripada Nabi s.a.w. yang ma'tsurah.Tidak perlu bersusah payah mencipta doa sendiri, kerana yang hendak dipinta semuanya telah dipohonkan oleh Nabi s.a.w.

  
      Doa yang disusun oleh Nabi s.a.w. lebih teratur indah dan lebih sempurna.Kadangkala manusia meminta sesuatu lebih daripada kadar yang sepatutnya, kerana tidak semua orang pandai meminta.

  
      Oleh itu lebih afdal jika mengambil doa dari Rasulullah s.a.w., lebih selamat dan terjamin kesesuaiannya. Demikianlah perbincangan mengenai zikir dan doa.Kini masuk pula mengenai fadilat selawat ke atas Nabi s.a.w. Sebagaimana yang semua ketahui bahawa agama itu bergantung atas kayakinan seseorang kepada akhirat yang bernama syurga dan neraka.

  
      Adapun kaya miskin senang derita kehidupan, tidak boleh jadi tanda ukuran bahawa Tuhan setuju atau sebaliknya.Kadangkala orang yang dikutuk Tuhan, kehidupannya tetap senang dan mewah. Sebaliknya orang yang Tuhan sayangi pula kehidupannya menderita.

  
      Selawat ke atas Nabi s.a.w. sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat untuk Nabi. Hai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya." (Surah al-Ahzab ayat 56)

  
      Ayat di atas menyatakan bahawa Allah SWT dan para malaikat-Nya berselawat (berdoa) ke atas Nabi s.a.w. Justeru orang orang beriman diseru supaya berbuat demikian juga.

  
      Menunjukkan berselawat ke atas Nabi s.a.w. itu suatu daripada ibadat yang sangat mulia, bukan saja dianjurkan oleh Allah SWT supaya manusia beriman melakukannya.Berselawat bukan saja dalam solat bahkan di luarnya, kerana Allah SWT dan malaikat-Nya juga telah berbuat demikian.

  
      Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Sesiapa di kalangan umatku yang berselawat sekali ke atasku, Allah SWT akan tulis 10 kebajikan."Sepuluh kebajikan bererti sepuluh pahala ganjaran, meskipun pahala itu tidak kelihatan bentuk dan sifatnya, tetapi pahala amat diperlukan oleh orang yang beriman di akhirat kelak.Sesiapa menghendaki pahala yang banyak, satu antara caranya ialah beramal tanpa modal iaitu berselawat ke atas Nabi s.a.w.

  
      Seorang sahabat bertanya kepada Nabi s.a.w. tentang bagaimana bentuk cara berselawat ke atasmu?Sabda Nabi s.a.w. berkatalah dengan: "Allahumma solli 'ala Muhammad 'abdika wa 'ala a-lihi wa azwajihi wa zurriyatihi kama sollita 'ala Ibrahim wa a-li Ibrahim, wabarik 'ala Muhammadin wa 'ala a-lihi wa azwjihi wa zurriyatihi, kama barakta 'ala Ibrahim wa a-li Ibrahim innaka hamidun majid."

  
      Yang bermaksud: Ya Allah Tuhanku, sejahterakanlah ke atas Nabi Muhammad dan kaum keluarganya dan para isterinya dan keturunannya, sebagaiman kesejahteraan ke atas Nabi Ibrahim dan keluarganya, sesungguhnya Engkau adalah Maha Terpuji lagi di-Mulia."

KELEBIHAN DI BULAN RAMADHAN


Berikut beberapa hadith yang menceritakan fadhilat bulan Ramadhan untuk kita hayati bersama dan mendapat keberkatannya :

1. Dari Abi Hurairah beliau berkata :Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud :
  "Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan."
Hadis riwayath  Bukhari, Muslim& Nasaaei.

2. Dan daripada Abu Hurairah daripada Nabi S.A.W telah bersabda yang bermaksud :
  "Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu."
Hadith riwayat oleh Nasai'e, Ibn Majah dan Baihaqi

3. Dan Abu Hurairah telah berkata : Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan yang artinya :
  "Sesiapa yang mendirikan Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan maka akan diampunkan baginya  dosanya yang telah lalu."
Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud, Nasai'e dan Baihaqi

4. Daripada Abu Hurairah telah berkata: Rasullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud :
  "Solat yang difardhukan kepada sembahyang yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan Jumaat kepada Jumaat yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan bulan kepada bulan(iaitu Ramadhan) merupakan kaffarah apa antara keduanya melainkan tiga golongan : Syirik kepada Allah, meninggalkan sunnah dan perjanjian (dilanggar).

Telah berkata Abu Hurairah : Maka aku tahu perkara itu akan berlaku, maka aku bertanya: Wahai Rasulullah! adapun syirik dengan Allah telah kami tahu, maka apakah perjanjian dan meninggalkan sunnah? Baginda S.A.W bersabda : Adapun perjanjian maka engkau membuat perjanjian dengan seorang lain dengan sumpah kemudian engkau melanggarinya maka engkau membunuhnya dengan pedang engkau, manakala meninggal sunnah maka keluar daripada jamaah."
Hadis riwayat Ahmad, Al-Hakim dan Baihaqi

5. Daripada Abi Solih Az-Zaiyat bahawa dia telah mendengar Abu Hurairah berkata: Rassullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud :
  "Setiap amalan anak Adam baginya melainklan puasa maka ia untuk Ku dan Aku sendiri yang akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri isterinya pada hari itu dan tidak meninggikan suara.
Sekiranya dia dihina atau diajak berkelahi maka dia berkata : Sesungguhnya aku berpuasa demi Tuhan yang mana diri Nabi Muhammad saw didalam kudratNya maka bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya. "
Hadis riwayat imam Bukhari& Muslim.

Hayatilah Bulan Ramadhan ini dengan penuh kesabaran dan dengan penuh keimanan.